SIRI RAMADHAN: MEMPERKUKUH KEPERIBADIAN MENGHADAPI PENGEMBALIAN

Unknown | May 21, 2018 | 0Komen |

SIRI RAMADHAN: MEMPERKUKUH KEPERIBADIAN MENGHADAPI PENGEMBALIAN

Alhamdulillah kita dipertemukan lagi dengan bulan yang penuh dengan barakah, bulan rahmat iaitu bulan Ramadhan. Kenapa bulan Ramadhan dipanggil ‘syahru Mubarak’?

Bulan Ramadhan merupakan satu bulan yang disebut ‘permulaannya adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan akhirnya dijauhkan daripada api neraka’

Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda apabila bulan Ramadhan telah datang maka dibukalah pintu-pintu syurga ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikat semua syaitan.

PENGEMBALIAN
Pengembalian yang ingin dibincang di sini bukanlah kembali ke rahmatullah atau dalam erti kata lain meninggal dunia. Kembali di sini bermaksud kita kembali kepada fitrah yang asal.

Sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
Ini adalah satu peluang yang sangat penting untuk kita ambil. Syaitan semua dah kena ikat. Hanya yang tinggal diri kita. Mari kita pulang semula kepada fitrah kita yang telah digariskan dalam Al-Quran.

Di dalam Al-Qur’an, kata fitrah disebut sebanyak 20 kali yang tersebar dalam 18 surah, iaitu: al-Baqarah 14, al-An’am 79, Hud 51, Yusuf 101, Ibrahim 10, al-Isra’ 51, Maryam 90, Taha 72, al-Anbiya’ 56, ar-Rum 30, Fatir 1, Yasin 22, az-Zumar 46, asy-Syura 5, az-Zukhruf 27, al-Mulk 3, al-Muzzammil 18 dan al-Infitar 1



Mafhumnya: (Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Imam al-Qurtubi menjelaskan pendapat ulama tentang makna fitrah yang tercantum dalam surat ar-Rum 30. Makna fitrah dalam ayat tersebut bermakna agama Islam, awal kejadian manusia (al-ibtida’), dan naluri manusia (khilqah). Dengan demikian,
ayat tersebut bererti bahawa setiap manusia diciptakan mempunyai naluri/sifat pembawaan yang cenderung kepada Islam. Sejak asal kejadiannya, manusia membawa potensi beragama yang lurus dan difahami oleh para ulama sebagai agama tauhid. Dengan kata lain, potensi ma’rifatul iman (potensi untuk beriman) pada diri manusia bersama-sama dengan waktu penciptaannya. Potensi ini dapat dikembangkan manusia sendiri bimbingan rasul, yang akhirnya mengantarkannya beriman kepada Allah SWT.

Jadi, apabila tiba bulan Ramadhan ini, adalah masa sesuai untuk kembali kepada fitrah
Jika kita susah nak solat, kita bangun solat
Jika kita jarang mengaji, kita akan selalu mengaji
Jika kita selalu buat tidak baik kepada orang, kita berbuat baik.

Maka rakan-rakan sekeliling perlu sentiasa memberi sokongan kepada rakan-rakan yang ingin berbuat baik. Kerana fitrah manusia itu baik. Kembalilah kepada fitrah asal kita. Semoga Allah redha.

KEPENTINGAN NIAT DAN DAKWAH

Unknown | May 21, 2018 | 0Komen |

NIAT DAN KEPENTINGAN DAKWAH
“Bulan ini kita buat kuliah dekat sini, bulan depan kita buat program dekat masjid sana, Khamis ini kita buat iftar lah,”
“Kau nak buat apa buat program banyak-banyak? Tiada orang pandang kita pun. Tengok anugerah pun tidak dapat,” dia pandang sahabat yang orang lain sambal tersenyum.
“Kau buat kerja dakwah ini, nak dapat sanjungan manusia atau nak dapat redha Allah? Kau buat sebab senior kita yang suruh atau sebab memang kita ada tanggungjawab sebagai seorang Daie?
Niat ini seperti surat. Salah tulis alamat akan sampai ke salah tempat.
Perlu cari sebab yang betul-betul kukuh, kenapa aku belajar? Kenapa aku perlu jadi seorang Muslim yang baik? Kenapa aku perlu berdakwah?
Jika kita ambil sebab-sebab yang sementara, ia akan lenyap bersama lenyapnya sebab. Tapi jika kita ambil sebab mengharapkan redha Allah, In shaa Allah, Allah akan bantu kita untuk menyelesaikan urusan harian kita, urusan pelajaran, urusan dakwah. Buat dahulu baru tahu.

Apa erti Niat?
Rukun solat yang pertama sekali ialah niat. Sebelum puasa pun perlu niat. Apa-apa ibadah perlu diniatkan kerana Allah. Niat itu apa sebenarnya?
Dalam bahasa Arab, niat adalah keinginan dalam hati untuk melakukan sesuatu tindakan. Imam Nawawi mengatakan niat adalah bermaksud untuk melakukan sesuatu dan bertekad bulat untuk mengerjakannya. Niat adalah satu motivasi, maksud atau tujuan di balik sebuah perbuatan
Rasulullah SAW menyatakan, niat menjadi penentu pahala sesebuah perbuatan. Jika niatnya kerana Allah, maka pahalanya dari Allah. Jika niatnya bukan kerana Allah atau disertai motif lain, maka Allah tidak akan mnerima amalan itu sebagai ibadah.

KEPENTINGAN DAKWAH
Apabila disebut tentang dakwah mesti semua akan beranggapan “Ini tugas-tugas imam-imam dan ustaz-ustaz yang baru balik dari timur tengah sahaja. Kita ini boleh duduk bersenang-lenang”
Allah SWT telah menjadikan manusia di muka bumi ini dengan meletakkan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh mereka seperti berdakwah.
 Firman Allah SWT dalam Surah Al-Dzariyyat: 6 yang bermaksud “ Tidak Aku jadikan jin dan manusia ini melainkan untuk beribadat kepada-Ku”.
 Tugas menyampaikan dakwah merupakan salah satu ibadah yang dituntut oleh agama Islam. Allah SWT telah berfirman dalam

Surah Ali Imran: 104 yang bermaksud “ Dan hendaklah ada di antara kamu satu pihak yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang salah, dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya”.
Ini menunjukkan bahawa tanggungjawab menyampaikan wahyu merupakan salah satu ibadah yang di pandang tinggi dalam agama Islam. Ini kerana kepentingan yang dibawa oleh gerakan dakwah ini memainkan peranan yang besar dalam kehidupan manusia. Kepentingan dakwah ini meliputi aspek individu, masyarakat dan seterusnya negara. Kunci utama untuk membentuk satu negara yang betul-betul mengamalkan ajaran Islam ialah mendidik seorang individu Muslim agar menjadi Muslim yang sebenar. Dakwah sangat penting untuk membebaskan diri manusia daripada penyembahan selain Allah. Hanya Allah sebaik-baik sembahan. Masyarakat tidak akan lahir jika tiada individu. Individu yang baik akan melahirkan masyarakat yang baik. Premise yang sangat mudah untuk difahami.
Jika kita lihat kepincangan dalam sesebuah masyarakat, lihat kepada individunya.

Paling penting ialah dakwah ini perlu dilakukan dengan pengorbanan dan mujahadah. Niat perlu diluruskan kepada Allah semata-mata. Jika kita ambil sebab kerana untuk mendapat sanjungan manusia, kita akan rasa penat. Jika kita mengharapkan popular, lama-lama kita rasa nak putus asa bila hasrat kita tidak tercapai. Jalan dakwah tidak dibentang dengan karpet merah tetapi penuh dengan ranjau dan onak duri. Maka sentiasa tajdid niat supaya jalan dakwah kita akan dipermudahkan.





Sahabat Yadim UMS © . Designed by MaisarahSidi.com